Sunday, June 15, 2014

Cerita si Kunang-kunang



Pada masa pekatnya hitam menguasai malam, si kunang-kunang menghadirkan setitik cahaya. Ia menyalakan cahayanya meskipun tidak terang benderang namun sudah cukup untuk menggantikan cahaya sang bulan yang malap dan samar-samar di balik awan.

Mungkin betul, dia tidak dapat menerangi dunia dengan hanya satu titik cahaya. Tetapi dia tidak pernah berputus asa. Dia sentiasa cuba untuk sekurang-kurangnya membuang perasaan takut akan malam yang gelap gelita. Mengikis putus asa yang telah terukir di dada. Walaupun cahayanya malap, ia kekal. Si kunang-kunang tetap percaya bahawa walaupun hanya satu titik cahaya yang dia mampu untuk menghantar, tetapi ia memberi makna yang sangat banyak. Semuanya bergantung kepada persepsi siapa yang melihatnya.

Bagiku, walaupun sang lilin mampu menghasilkan sebahagian cahaya cerah tetapi lihatlah bagaimana akhir ceritanya. Ia mengeluarkan cahaya dengan mencederakan dirinya sendiri. Dan sudah tentu dia akan binasa dan terpadam juga apabila badannya tidak lagi dapat menahan kesakitan. Apabila ianya berlaku kegelapanlah yang menguasai semula, menguasai kerapuhan hati. Seperti kunang-kunang, dia tidak perlu menderita untuk membawa cahaya. Dia tidak memerlukan menzalimi dirinya malah tetap rendah hati  untuk menerangi pekatnya malam, menghapus kerapuhan hati Walaupun malap, tetapi tidak mengapa dia tetap terus mencuba.


Terbanglah wahai si kunang-kunang bersama sejuta kunang-kunang yang lain, bersatu melawan kelam sang magenta malam. Itulah makna sebuah kebersamaan yang saling melengkapi antara satu sama lain. Jangan pernah  berputus asa, bangkit dan kuat! Aku tahu, sesungguhnya kebersamaan ini mampu menjadi kekuatan tersendiri.





2 comments: